Monday, December 22, 2008

Sibuk

Sekarang saya sedang sibuk menyiapkan Yearbook. Saya akan memberikan respons terhadap karangan-karangan yang dihantar secepat-cepatnya minggu hadapan. Harap maaf atas kelewatan ini. Terima kasih kepada yang telah menghantar tugasan.

Cuti sekolah hampir sampai ke penghujungnya. Saya masih belum bercuti lagi. Kepada pelajar-pelajar 4Sc1, saya harap anda semua sudah menyediakan Fail Skrap dan telah mula membaca Konserto Terakhir. Kita akan mula membincangkan novel Konserto Terakhir pada minggu kedua apabila sekolah dibuka nanti. Saya tak mahu ada yang masih belum membacanya kerana tugasan baru berkaitan Konserto Terakhir akan diberikan sebelum cuti berakhir.

Wednesday, December 3, 2008

Contoh karangan pelajar - Peg Kee

Ini ialah karangan Peg Kee. Tahniah Peg Kee kerana karangan anda terpilih.

Perhatikan kata/frasa yang berwarna merah. Apakah kesalahan yang telah dilakukan? Berikan pendapat anda dan betulkan kesalahan tersebut dalam ruangan comments di bawah.

Punca-punca pencemaran sungai.

Sungai adalah sangat penting kepada manusia dan haiwan kerana sungai dapat menyediakan pelbagai sumber untuk makhluk Tuhan. Namun, sungai pada hari ini telah dicemari oleh manusia yang bersikap tamak dan rakus menodai sungai semata-mata untuk mendapatkan wang untuk hidup dalam dunia yang serba mencabar ini.

Antara punca-punca pencemaran sungai ialah pembuangan sisa-sisa toksik atau makanan oleh manusia yang tidak bertanggungjawab. Mereka ingin mencari jalan pantas untuk menghapuskan sisa-sisa tersebut tanpa memikirkan akibat yang akan dialami oleh semua pihak terutamanya hidupan akuatik di dalam sungai tersebut. Manusia seharusnya menggunakan cara yang betul untuk menghapuskan sisa-sisa yang dapat mencemari sungai.

Di samping itu, kegiatan pembalakan yang tidak terkawal juga menyumbang kepada punca-punca berlakunya pencemaran sungai. Kayu-kayu yang ditebang ini akan dihanyutkan ke sungai dan seterusnya ke kilang-kilang memproses kayu-kayu yang terletak berhampiran. Sisa-sisa kayu yang tertinggal di paras sungai akan menyebabkan hidupan akuatik tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi.

Selain itu, pembuangan sampah-sarap oleh manusia juga menyebabkan pencemaran sungai berlaku. Sampah-sarap yang bertaburan di dalam sungai akan menyebabkan kehidupan hidupan akuatik terjejas dan banyak ikan akan mati sekiranya mereka termakan plastik-plastik sampah-sampah tersebut. Manusia tidak seharusnya membuang sampah ke dalam sungai kerana ini akan menjejaskan kualiti bekalan air dan manusia jugalah yang menghadapi kesulitan untuk mendapatkan bekalan air yang bersih dan selamat.

Kesimpulannya, manusia seharusnya berganding bahu untuk mengatasi masalah pencemaran sungai sebelum sungai lebih teruk dicemari seperti peribahasa 'sediakan payung sebelum hujan'. Kita seharusnya menyayangi sungai yang amat berharga dan berguna kepada semua makhluk Tuhan dan bukannya mencemari sungai.

Soalan Perdagangan Kertas 2

Gembira juga apabila meneliti soalan dalam Kertas 2 namun ada kerisauan juga kerana soalan wajib iaitu soalan kajian kes sangat susah.

Soalan pertama tepat seperti yang disangkakan.
1a) sumbangan usahawan - soalan trial exam
1b) jenis pengkhususan
1c) sistem barter
1d) tiga bantuan perniagaan


Soalan kedua. Ramalan saya tersasar. Saya jangkakan fungsi pemborong yang keluar tetapi fungsi peruncit pula. Tapi soalan ini boleh dikirakan senang.

2a.) 3 fungsi peruncit dlam saluran agihan
2b) Sewa beli - saya harap pelajar tak keliru dalam menjawab soalan ini.
2c) Invois - antara soalannya tentang perbezaan diskaun niaga dan diskaun tunai

Soalan 3
a. Halangan export
b. inden dan prosedur eksport
c. Kaitan IKS dengan Industri berat

soalan 3 agak susah.

Soalan 4
a. Pulangan atas pelaburan - harta tanah dan syer
b. 2 jenis kemudahan pembayaran di bank perdagangan
c. cek - i) tiga pihak yang terlibat dalam cek
ii) cek tak layan

Soalan 5
a. 3 kelebihan pengangkutan laut berbanding pengangkutan udara
b. 2 unsur campuran pemasaran
c. faktor pemiluhan suatu media pengiklanan
d. hak pengguna
e. amalan perniagaan yang beretika

Kajian Kes
Kajian kes kali ini memerlukan pelajar menguasai pelbagai aspek perdagangan dan kemahiran menganalisa yang tinggi. Pelajar juga perlu dapat mengaitkan pengetahuan pelajar kepada aspek yang lebih luas iaitu negara Malaysia. Pelajar perlu melihat perkaitannya dalam dunia sebenar perniagaan hari ini. Ini adalah soalan aplikasi tahap tinggi. Syabas kepada pelajar yang dapat menjawab soalan ini.

Soalan a ,merujuk sifat usahawan yang ada pada Encik ali
soalan b) prinsip insurans
c) Kepentingan pengajuran festival kepada i) resort ii) Malaysia
d) sistem komunikasi yang sesuai

Monday, December 1, 2008

Perdagangan 2008

Entah kenapa tak ada ilham untuk menulis, tetapi memandangkan peperiksaan Perdagangan hari Rabu nanti, saya cuba juga apa yang terdaya untuk membantu murid-murid saya yang tak henti-henti bertanyakan tips peperiksaan.

Sebenarnya persediaan yang paling ideal untuk Perdagangan ialah belajar sepanjang tahun = constant study. Banyak bab yang perlu dipelajari dan banyak topik yang patut diketahui. Namun apa yang lebih penting ialah bagaimanakah anda mengaplikasikan pengetahuan yang anda pelajari itu dalam perniagaan anda. Saya suka meminta pelajar saya membuat andaian bahawa mereka ialah peniaga yang berniaga sesuatu barang atau perkhidmatan. Sekiranya anda berbuat sedemikian, lebih senang lagi untuk anda membayangkan apa yang akan berlaku dan apa yang perlu anda lakukan sekiranya menghadapi masalah. Dalam banyak hal, dalam Perdagangan, anda banyak diperlukan untuk mengatasi masalah yang timbul dan berusaha untuk mengelakkan masalah. Itulah hakikatnya dalam perdagangan dalam alam perniagaan yang sebenar.

Untuk menghadapi peperiksaan kali ini, sila ambil perhatian kesemuya topik kerana dalam Kertas 1, hampir semua topik akan ditanya. Sekiranya anda mengabaikan mana-mana topik, anda terpaksa mengambil risiko. Orang perdagangan, dia tak akan mahukan risiko. Berdasarkan analisis soalan-soalan tahun lepas, hampir setiap topik ada sekurang-kurangnya 1 soalan. Mesti ada soalan pengiraan.

Topik yang mengadungi soalan pengiraan:

  1. Dokumen Perniagaan Dalam Negeri - mengira diskaun tunai, diskaun niaga, dan yang berkaitan dengan invpis dan nota kredit.
  2. Sewa beli - banyaran ansuran
  3. Perniagaan antarabangsa - import/eksport nyata dan tak nyata
  4. Pemilikan perniagaan - Akaun Penamat dan Kunci Kira-kira
  5. Pengiraan cukai pendapatan perseorangan
  6. Koperasi - pengiraan agihan lebihan
  7. mengira keuntungan atas pelaburan - simpanan tetap, harta tanah, saham dan unit amanah
  8. Insurans - prinsip insurans - sumbangan/subrograsi

Sila rujuk balik topik-topik berkenaan dan buat sedikit latihan pengiraan.

Ingat, ada kemungkinan soalan pengiraan akan keluar dalam Kertas 2.

Saya lebih risau akan Kertas 2. Kertas 1, jawaban telah diberikan. Anda hanya perlu pilih jawaban yang betul. Tapi anda harus berhati-hati kerana rugi sungguh kehilangan markah daripada Kertas ini.

Bagi Kertas 2, daripada analisa, kebiasaan tahun, 50-50. Soalan seimbang 50% dari Tingkatan 4 dan yang selebihnya dari Tingakat 5. Anda perlu menjawab 3 soalan daripada 5 soalan dalam Bahagian A manakala Bahagian B adalah wajib.

Soalan 1, biasanya daripada Bab 1 dan 2 Tingkatan 4. Setiap tahun pun begini. Tak tahulah kalau pada tahun ini ada perubahan. Tapi saya rasa tidak. jadi sediakan diri anda dengan mahir bab 1 dan 2 ini kerana secara logiknya bab ini iala Asas kepada Perdagangan dan Unsur Perdagangan. Kalau saya penyedia soalan, tentu saya mahu anda sekurang-kurangnya sudah mempunyai asas perdagangan dan tahu tentang apa yang anda pelajari iaitu unsur perdagangn. Saya kuat mengatakan bahawa ada soalan daripada bab-bab ini. Naluri saya mahu pelajar saya bersedia tentang pengkhususan.

Soalan 2a. Saya berat mengatakan bahawa soalan 2 akan meliputi bab 3 iaitu Perniagaan Dalam Negeri. Tajuk ini sungguh besar. Pasti ada sekurang-kurangnya satu soalan daripada bab ini. Saya sebenarnya suka meletakkan bab ini dalam soalan Bahagian B iaitu Kajian Kes kerana dapat dikaitkan dengan topik-topik lain, tapi kemungkinan juga dalam soalan 2 agak kuat. Persoalannya, topik mana?

Peringatan: Ini bukan soalan ramalan. Ini hanya panduan kepada pelajar tentang topik apa yang perlu diberi perhatian last-last minit ini. (Dengan andaian anda telah siap membuat persediaan) ataupun boleh juga digunakan kepada siapa-siapa yang tak bersedia dan tak tahu mana nak mula dan apa yang nak dibaca.

So, topik mana yang nak diberikan perhatian?

Saya cadangkan anda bacalah bab pemborong terutama fungsi pemborong dan sebab-sebab fungsi pemborong diambil alih. Bagi jenis peruncit, sila ambil perhatian terhadap perniagaan prabayar dan francais. Jangan abaikan dokumen-dokumen.

Soalan 2b.

Banyak pilihan untuk soalan ini. Tapi sebelum itu anda harus faham bahawa kebiasaannya setiap soalan ada pecahan soalan. kadang-kadang dalam satu soalan, terdapat soalan daripada tiga bab yang berbeza. Di sini, saya hanya mencadangkan bab utama bagi soalan tersebut. Saya harap anda faham.

Saya memilih bab Pemilikan Perniagaan dan sila tumpukan bahagian Perkongsian dan Syarikat Sdn Berhad. Berikan perhatian juga terhadap kemungkinan soalan-soalan perbezaan antara jenis-jenis milikan ini. Berikan perhatian dalam Perbezaan antara Syarikat Sdn Berhad dan Sykt Berhad, sebab-sebab Perkongsian lebih baik daripada Milikan Tunggal dan sebagainya.

Soalan 3a

Apakah soalan yang berbentuk aplikasi? Adakah anda perlu membuat keputusan dan menyatakan sebab-sebab keputusan itu diambil? Mungkin anda perlu membuat keputusan tentang bentuk pelaburan yang akan ada ambil berdasarkan sejumlah wang yang anda ada. Ataupun anda perlu menyatakan sebab-sebab anda membeli saham daripada syarikat-syarikat tertentu?

Soalan 3b

Apakah bentuk-bentuk perkhidmatan bank perdagangan yang dapat anda guna untuk menjalankan perniagaan anda?

Soalan 4a

Perbezaan antara kapal kerentan dan kapal kargo dan Faktor pemilihan sesuatu jenis pengangkutan

Soalan 4b.

Ciri-ciri gudang yang baik.

Soalan 5a

Pemilihan jenis promosi- sebab-sebab jenis tersebut dipilih.

Soalan 5b

Konsumerisme - membeli dengan bijak.

Bahagian B - kajian Kes

Perniagaan Antarabangsa dikaitkan dengan perniagaan dalam negeri dan pengangkutan.

Mengapa saya terlupa akan bab Inurans? Jangan abaikan bab ini. Anda patut sudah faham akan prinsip insurans dan dapat mengaplikasikannya dalam mana-mana keadaan pun.

Saya berharap dengan pengecilan skop ini, anda akan dapat membuat ulangkaji pada saat-saat akhir ini denga lebih berkesan. Tetapi perlu anda ingat dan faham bahawa ini hanya cadangan saya yang mungkin dapat membantu. Kalau soalan daripada bahagian ini keluar, saya tumpang gembira tetapi kalau tak keluar jangan salahkan saya pula. Anda harus bersedia walau apa soalan keluar sekalipun. Selamat kepada anda semua, semoga anda berjaya menjawab semua soalan. Ingat teknik menjawb soalan yang betul. kalau ada kesempatan, saya akan menuliskan teknik-teknik untuk mendapatkan markah pula. All the best to you.