Thursday, September 17, 2009

Photobucket

Friday, May 8, 2009

Anda diburu...

Peringatan kepada pelajar-pelajar 5Sc1 SSB
Anda diburu...
Jangan takut dan jangan gusar. Sekiranya anda mendapat SMS yang mengatakan bahawa anda diburu, itu bererti bahawa anda sedang diberi perhatian oleh guru anda. Guru anda mahu anda berada dalam keadaan yang sentiasa bersedia untuk menghadapi SPM nanti, dan guru anda tidak mahu anda terlalai walau seketika sekalipun. Oleh itu cepatlah bertindak supaya anda tidak perlu diburu lagi.
  • Sila pastikan anda telah menyiapkan latihan-latihan dalam fail oren
  • Anda harus ada 8 rumusan yang telah siap sekali dengan jawaban soalan-soalan pemahaman.
  • Ada 6 atau 7 latihan karangan tak termasuk karangan peribahasa itu.
  • Latihan terakhir tatabahasa ialah berkaitan ayat songsang.
  • Latihan-latihan Komsas dari buku kerja telah disempurnakan.

Sekiranya anda telah menyempurnakan segala yang tertera di atas, sila buktikan kepada guru anda dengan menghantarkannya selewat-lewatnya pada hari Isnin ini. Terima kasih semua.

ULBS

Minggu ini minggu guru-guru keluar untuk menyertai taklimat ULBS/PEKA/PBS dan yang berkaitan. Hari ini saja 3 orang guru yang keluar termasuklah ketua pentaksir ULBS. Terdapat beberapa perubahan nampaknya terutama dari segi penyelarasan. Kalau pada tahun lepas, 10 orang calon dipantau oleh Penyelaras Kawasan tetapi pada tahun ini pemantauan untuk penyelarasan akan diadakan 2 kali. Pada peringkat pertama, Ketua Pentaksir Sekolah yang akan membuat pemantauan dan kemudian dalam sekitar bukan Jun nanti barulah Penyelaras Kawasan akan datang ke sekolah dan membuat pemantauan dan penyelarasan.

Oleh sebab peperiksaan pertengahan tahun akan berlangsung pada 14 Mei 2009, maka penyelarasan pertama akan dilakukan sebelum itu, mungkin pada hari Khamis depan pada sebelah pagi. Harap-harap para pelajar yang terpilih akan bersedia dengan sebaik mungkin supaya tiada pertukaran markah akan berlaku.

2 orang pelajar yang saya pilih dari 5Sc1 ialah Hannah dan ? .

Wednesday, May 6, 2009

Peperiksaan Pertengahan Tahun 2009

Lama sungguh saya mengabaikan blog ini. Peperiksaan Pertengahan Tahun (PPT) pun dah hampir tiba. Di SSB, peperiksaan akan bermula pada 14 Mei 2009. Kepada pelajar-pelajar SSB, adakah anda telah bersedia? Sebenarnya saya agak bimbang juga. Saya khuatir bahawa prestasi pelajar-pelajar saya kurang memuaskan terutama kepada beberapa orang pelajar. Secara zahirnya saya lihat mereka ini masih tercari-cari (adakah mereka mencari?) mood untuk belajar? atau entahlah... saya sendiri tidak dapat memahami mereka. Namun, saya berharap saya akan dapat membantu mereka. Saya akan berjumpa dengan mereka seorang demi seorang dan cuba memahami masalah mereka. Kepada saya, mereka ini berpotensi untuk menjadi pelajar cemerlang, tapi mereka harus tekal dan rajin berusaha.

Apakah skop yang perlu anda kuasai menjelang peperiksaan ini? Untuk karangan, saya nasihatkan anda supaya meneliti topik-topik yang dibincangkan dalam buku teks manakala untuk Kertas 2, khususnya Komsas, fokus PPT ialah Novel Konserto Terakhir dan semua yang telah dikaji dalam Antologi Kerusi. Buatlah persediaan awal supaya anda tidak menyesal kemudian hari.

Sunday, March 22, 2009

Analisis Keputusan Ujian Bulanan 1

Minggu depan, Jumaat 27 Mac, ibu bapa dijemput datang ke sekolah untuk mengetahui prestasi anak-anak dalam Ujian yang pertama ini. Untuk ujian BM ini, pelajar-pelajar diuji tentang 1. Rumusan, 2a. Pemahaman Umum dan 2b. Pemahaman Komsas. Markah penuh 50 dan akan dijadikan 100% dengan darab 2. Masa yang diberikan hanya 1 jam.

Setelah dianalisis, sebanyak 13 orang pelajar 5 Sc1 mendapat A manakala 7 yang lain lulus. Tiada yang gagal. Markah terendah ialah 50. Markah tertinggi diperoleh Peg Keedan Aqeel dengan mendapat 88. Tahniah! Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Bernard Seow yang telah mendapat 78%. Ini adalah suatu kemajuan untuk Bernard. Mantapkan rumusan lagi, insya-Allah anda akan mendapat A dengan rajin lagi menulis karangan.

Secara keseluruhannya, pelajar-pelajar telah menguasai teknik menjawab soalan rumusan dan pemahaman. Kelemahan pelajar masih dalam menulis isi tersurat. Nampak macam senang tetapi segelintir pelajar masih agak keliru untuk mengenal isi tersurat. Malah ada yang menukarkan kata-kata kunci dengan perkataan-perkataan baru yang membawa makna yang berbeza. Ingat ya, sekiranya anda menukarkan kata-kata kunci, anda telah menukarkan maksud ayat dan anda tidak lagi menulis isi tersurat tetapi isi tersirat!!! Anda tidak menjawab mengikut format.

Kelemahan yang seterusnya ialah anda tidak dapat memberikan isi tersirat yang tepat. Anda tidak boleh sewenang-wenangnya menuliskan isi tersirat walaupun isi tersebut menjawab unsur kedua dalam soalan. Isi tersirat anda mestilah dikawal dan dapat dirujuk pada isi tersurat. Biasakan menulis isi tersirat itu dalam konteks diri sendiri, keluarga, masyarakat atau negara (yang mana relevan). Anda harus banyak berlatih lagi untuk menguasai isi tersirat.

Kelemahan seterusnya ialah dalam menjawab soalan pemahaman. Perlulah diingat bahawa apabila menjawab soalan pemahaman, biasakan mengambil sebahagian soalan agar jawaban anda tepat dan jelas. Ini akan memudahkan pemeriksa untuk memberikan markah sama ada anda menjawab soalan atau tidak.

Ingat, walaupun satu markah, jangan dipersiakannya kerana satu markah itu dapat menentukan sama ada anda akan mendapat A atau tidak.

Satu kekuatan yang saya dapat lihat dalam kalangan anda ialah kemantapan isi dalam menjawab soalan pemahaman. Isi anda terhurai dengan jelas terutama dalam soalan kbkk dan ada kematangan telah diperlihatkan. Syabas!

Kalau anda telah menguasai Rumusan dan Pemahaman, jalan untuk anda mendapat A semakin terbuka luas. Ingat, Rumusan ialah lubuk markah, dan anda boleh mendapat markah penuh di sini. Begitu juga Pemahaman umum dan komsas. Bahagian-bahagian ini perlu dititik berat kerana sekiranya pengetahuan anda mantap dalam komsas, anda juga boleh mendapat markah penuh. Jadi, bersedialah anda dengan pengetahuan yang luas dan daya fikir yang matang.

Thursday, March 5, 2009

Deklarasi

Saya yakin dan saya pasti bahawa saya akan mendapat 1A dalam Bahasa Melayu!
Demikianlah deklarasi yang telah termeterai oleh pelajar-pelajar 5 Sc1 hari ini. Mereka telah membuatkan saya begitu teruja dan bersemangat untuk bersama-sama membuktikan segala impian menjadi kenyataan. Suatu perasaan yang sukar untuk saya gambarkan di sini kerana walaupun semangat ini belum bersatu dengan ampuh, tetapi saya dapat merasakan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih mudah dan sikap pelajar akan menjadi lebih terarah. Saya dapat merasakan keintiman hubungan kami atas dasar impian yang sama. Saya telah dapat mengenali mereka dengan lebih mendalam. Hari-hari mendatang sungguh menceriakan!!! ;)