Thursday, November 13, 2008

Bahasa Melayu Kertas 1

Ulasan:

Soalan Karangan Bahan Rangasangan
Wah, gambar berwarna! Suatu peningkatan, angkat topi untuk lembaga. Peningkatan begini memang dialu-alukan. Gambar yang dilukis pun menarik. Lebih menarik lagi, soalannya itu iaitu tentang punca-punca pencemaran sungai. Pada pendapat saya, rata-rata pelajar sekolah saya dapat menjawab soalan ini waima yang lemah sekalipun.

3 keping gambar diberikan.
Gambar pertama tentang pembuangan sampah-sarap -> Kelihatan sampah-sarap terapung-apung di permukaan sungai.
Gambar kedua pula tentang pembuangan sisa dari kilang. Kelihatan 2 saluran paip yang mengeluarkan sisa-sisa buangan kilang dari sebuah kilang yang berhampiran manakala gambar ketiga menunjukkan kegiatan pembalakan di tepi sebatang sungai.Rangsangan yang diberikan kepada calon amat jelas.
Dengan gambar yang menarik, calon mesti teruja untuk menjawab soalan ini. Cuma takutnya mereka akan terleka dan menulis melebihi 250 patah kata.

Bahagian B
Arahan soalan tetap sama.

Soalan 1
Sebagai setiausaha sidang redaksi majalah sekolah, anda ditugaskan untuk menyediakan satu laporan tentang Majlis Anugerah Cemerlang yang diadakan di sekolah anda.Sediakan laporan itu selengkapnya.Ini ialah karangan berformat. Kalau nak diikutkan, soalan ini tidak susah kepada para pelajar sekolah saya kerana setiap tahun pun majlis ini diadakan. Bagi pelajar yang pandai mereka akan dapat menyesuaikan pengalaman mereka di sekolah untuk menjawab soalan ini. Saya agak bimbang bagi pelajar yang agak lemah kalau mereka memilih soalan ini. Ini adalah kerana biasanya kami mengadakan Hari Anugerah Bestari dan bertempat di hotel. Saya bimbang mereka akan menulis tentang Hari Anugerah Bestari yang diadakan di hotel.

Soalan 2
Setiap orang ingin akan kawasan petempatan yang terancang untuk tinggal bersama-sama keluarga tersayang.Jelaskan ciri-ciri sebuah petempatan yang menjadi idaman anda sekeluarga.Ini ialah karangan berformat bebas. Apa yang dikehendaki ialah ciri-ciri sebuah petempatan yang menjadi idaman calon sekeluarga. Apa yang saya bimbangkan ialah pelajar akan tersilap takrif akan kehendak tajuk. Saya bimbang pelajar lemah akan menuliskan karangan tentang rumah idaman bukan petempatan sebagaimana yang dikehendaki oleh soalan.

Soalan 3
Penyakit demam denggi yang berpunca daripada nyamuk aedes merupakan ancaman yang membimbangkan negara.Huraikan faktor-faktor yang menyebabkan merebaknya penyakit ini dan langkah-langkah bagi menanganinya.Soalan ini agak mudah, cuma saya harap pelajar tidak akan membuat kesilapan.

Soalan 4
Penyertaan setiap negara dalam pertandingan sukan pada peringkat antarabangsa dapat mengeratkan hubungan masyarakat dunia.Berikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.Pada saya soalan ini agak menarik. Pelajar pintar mungkin akan memilih soalan ini untuk menguji kematangan dan kehebatan mereka. Tetapi saya berharap meraka berhati-hati dan punyai isi yang cukup dan tidak terpesong.

Soalan 5
Yang kurik itu kundi,Yang merah itu saga;Yang baik itu budi,Yang indah itu bahasa.Pantun di atas menjelaskan bahawa budi bahasa penting dalam kehidupan manusia.Bincangkan kepentingan amalan berbudi bahasa dalam masyarakat.Saya dah jangka ada soalan berbentuk begini bagi soalan 5. Soalan apresiasi sastera yang agak umum dan berfakta. Seharusnya pelajar-pelajar tidak mempunyai masalah isi untuk memilih soalan ini. Cuma adakah soalan ini yang terbaik untuk dipilih?

No comments: