Sunday, March 22, 2009

Analisis Keputusan Ujian Bulanan 1

Minggu depan, Jumaat 27 Mac, ibu bapa dijemput datang ke sekolah untuk mengetahui prestasi anak-anak dalam Ujian yang pertama ini. Untuk ujian BM ini, pelajar-pelajar diuji tentang 1. Rumusan, 2a. Pemahaman Umum dan 2b. Pemahaman Komsas. Markah penuh 50 dan akan dijadikan 100% dengan darab 2. Masa yang diberikan hanya 1 jam.

Setelah dianalisis, sebanyak 13 orang pelajar 5 Sc1 mendapat A manakala 7 yang lain lulus. Tiada yang gagal. Markah terendah ialah 50. Markah tertinggi diperoleh Peg Keedan Aqeel dengan mendapat 88. Tahniah! Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Bernard Seow yang telah mendapat 78%. Ini adalah suatu kemajuan untuk Bernard. Mantapkan rumusan lagi, insya-Allah anda akan mendapat A dengan rajin lagi menulis karangan.

Secara keseluruhannya, pelajar-pelajar telah menguasai teknik menjawab soalan rumusan dan pemahaman. Kelemahan pelajar masih dalam menulis isi tersurat. Nampak macam senang tetapi segelintir pelajar masih agak keliru untuk mengenal isi tersurat. Malah ada yang menukarkan kata-kata kunci dengan perkataan-perkataan baru yang membawa makna yang berbeza. Ingat ya, sekiranya anda menukarkan kata-kata kunci, anda telah menukarkan maksud ayat dan anda tidak lagi menulis isi tersurat tetapi isi tersirat!!! Anda tidak menjawab mengikut format.

Kelemahan yang seterusnya ialah anda tidak dapat memberikan isi tersirat yang tepat. Anda tidak boleh sewenang-wenangnya menuliskan isi tersirat walaupun isi tersebut menjawab unsur kedua dalam soalan. Isi tersirat anda mestilah dikawal dan dapat dirujuk pada isi tersurat. Biasakan menulis isi tersirat itu dalam konteks diri sendiri, keluarga, masyarakat atau negara (yang mana relevan). Anda harus banyak berlatih lagi untuk menguasai isi tersirat.

Kelemahan seterusnya ialah dalam menjawab soalan pemahaman. Perlulah diingat bahawa apabila menjawab soalan pemahaman, biasakan mengambil sebahagian soalan agar jawaban anda tepat dan jelas. Ini akan memudahkan pemeriksa untuk memberikan markah sama ada anda menjawab soalan atau tidak.

Ingat, walaupun satu markah, jangan dipersiakannya kerana satu markah itu dapat menentukan sama ada anda akan mendapat A atau tidak.

Satu kekuatan yang saya dapat lihat dalam kalangan anda ialah kemantapan isi dalam menjawab soalan pemahaman. Isi anda terhurai dengan jelas terutama dalam soalan kbkk dan ada kematangan telah diperlihatkan. Syabas!

Kalau anda telah menguasai Rumusan dan Pemahaman, jalan untuk anda mendapat A semakin terbuka luas. Ingat, Rumusan ialah lubuk markah, dan anda boleh mendapat markah penuh di sini. Begitu juga Pemahaman umum dan komsas. Bahagian-bahagian ini perlu dititik berat kerana sekiranya pengetahuan anda mantap dalam komsas, anda juga boleh mendapat markah penuh. Jadi, bersedialah anda dengan pengetahuan yang luas dan daya fikir yang matang.

Thursday, March 5, 2009

Deklarasi

Saya yakin dan saya pasti bahawa saya akan mendapat 1A dalam Bahasa Melayu!
Demikianlah deklarasi yang telah termeterai oleh pelajar-pelajar 5 Sc1 hari ini. Mereka telah membuatkan saya begitu teruja dan bersemangat untuk bersama-sama membuktikan segala impian menjadi kenyataan. Suatu perasaan yang sukar untuk saya gambarkan di sini kerana walaupun semangat ini belum bersatu dengan ampuh, tetapi saya dapat merasakan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih mudah dan sikap pelajar akan menjadi lebih terarah. Saya dapat merasakan keintiman hubungan kami atas dasar impian yang sama. Saya telah dapat mengenali mereka dengan lebih mendalam. Hari-hari mendatang sungguh menceriakan!!! ;)