Sunday, November 16, 2008

Persiapan untuk SPM 2009

Masih jauh kan? Tapi, percayalah, pejam celik pejam celik, SPM 2009 akan menjadi kenyataan. Janganlah apabila sudah suntuk, baharulah menggelabah cari input, google sana, google sini, pastu panic, sibuk cari soalan bocor.... Saya cadangkan, binalah kekuatan diri dan keyakinan dengan membuat persediaan yang rapi dari awal lagi. Cuti akhir tahun ini jangan dibazirkan. Buat sesuatu yang bermanfaat. kalau on komputer tu, jangan asyik main game, sebaliknya layarilah web-web yang memberikan maklumat tentang perkara-perkara yang sesuai untuk SPM nanti.

Cadangan saya:

Mari kita imbas kembali tentang perkara yang hangat dibincangkan dalam suratkhabar atau tv dalam sekitar tahun 2007-8. Kecilkan skop kepada beberapa tajuk besar. Kemudian, kumpulkan segala maklumat tentang perkara tersebut. Rujuk juga buku teks. Adakah topik tersebut dibincangkan dalam buku teks? Buat Fail Skrap. Kalau dapat siap dengan kata-kata tokoh yang terbabit. Senaraikan juga peribahasa-peribahasa yang berkaitan dengan topik tersebut. Kalau anda dapat berhubung dengan rakan-rakan anda, berpakatlah untuk menyediakan Fail Skrap tersebut. Biarlah seorang menumpukan sesuatu topik dulu supaya banyak Fail Skrap akan disiapkan dan kemudian bolehlah berkongsi maklumat dalam kalangan anda. Ingat, jangan tamak ilmu kerana orang yang tamak akan rugi bagai anjing dengan bayang-bayang.

Topik hangat 2007-8

  1. Kisah Penculikan Kanak-kanak
  2. Kenaikan minyak yang menjurus kenaikan harga barang
  3. Kejayaan Angkasawan Negara -tapi dah keluar dalam rumusan 2008
  4. Telefon bimbit dibenarkan penggunaannya di sekolah
  5. Kes buli
  6. Banjir
  7. Mat Rempit
  8. Bencana Alam

Saturday, November 15, 2008

4Sc1 2008 - Tugasan Pertama

Tahun depan, insya-Allah saya akan mengajar tingkatan 5 Sc 1 yang sekarangni 4 Sc 1. Sebelum ini Pn Siti Normah yang mengajar kelas ini tetapi kerana beliau dinaikkan pangkat menjadi Penolong Pengetua bahagian rendah tahun depan maka kelas ini diambil alih sementara oleh guru baru, kalau tak silap sejak bulan 9 yang lalu. Tapi tahun depan, saya akan mengambil alih kelas ini jika tiada sebarang pertukaran lain dibuat.


Oleh itu, pada hari Khamis yang lalu, saya mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan mereka dan memberitahu mereka tentang hal ini dan apa yang saya jangkakan dan harapkan daripada mereka. Sebanyak sedikit saya berharap bahawa mereka akan memahami saya dan menerima saya serta memberikan kerjasama yang sebaik mungkin demi masa depan mereka juga.


Impression pertama saya terhadap mereka (i think i'll keep it to myself, hahaha) ialah hmmmm mereka ok dan boleh diajar.(walaupun ramai yang nampak blurrrrrrr). So, 4 Sc 1 students..Be prepared!!!!Your lessons starts 'yesterday'.....




Your first assignment.



Ini ialah soalan SPM. Saya mahu anda semua menjawab soalan ini dan mematuhi keperluannya. Anda dikehendaki menghantar karangan anda selewat-lewatnya pada hari Rabu 19 November 2008. Hantar kepada lezahzaini@yahoo.com . Karangan anda hendaklah asli. Saya akan menanda kertas anda dan sebarang pembetulan akan dilakukan dengan warna merah. Karangan yang bertuah akan dipostkan ke blog ini.



Soalan:


Gambar di bawah menunjukkan sebahagian daripada fenomena pencemaran sungai. Huraikan pendapat anda tentang punca-punca pencemaran sungai. Panjang huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.



Soalan tamat.


Anda seharusnya memanfaatkan cuti akhir tahun ini dengan banyak membaca dan membuat latihan-latihan penulisan. Jangan bazirkan masa.

Friday, November 14, 2008

Laman Bahasa Melayu

Untuk membaca postig-posting terdahulu tentang Bahasa Melayu, sila lawati http://cikguliz.blogspot.com/search/label/Bahasa%20Melayu

Thursday, November 13, 2008

Bahasa Melayu Kertas 2 SPM 2008

Saya tersenyum apabila melihat kertas soalan BM kertas 2. Saya ternampak wajah-wajah riang pelajar-pelajar saya. Ada sedikit kepuasan pada diri saya, tetapi saya harus terus berdoa agar mereka berjaya. Walaupun saya kira soalan memihak kepada calon, tapi saya khuatir penandaan yang tegas. Saya tak boleh 'over confident'.

3 soalan dalam trial exam masuk spm.

1. Puteri Gunung Ledang
2. Di sisi Rinda
3. Analisis Ayat

Ulasan

Soalan Rumusan - faedah-faedah penerokaan angkasa lepas dan cara-cara untuk menarik minat masyarakat terhadap bidang penerokaan angkasa lepas.

Topik ini dan isi-isi tersirat telah dibincangkan dalam kelas. Saya berharap tiada masalah untuk mereka menjawab.Soalan pemahaman umum pun ok, mampu dijawab oleh pelajar.

Petikan cerpen - ok

Petikan prosa Klasik - mungkin makna rangkai kata tu agak sukar untuk dijawab bagi sesetengah pelajarPantun - sepatutnya tidak susah.

Pengetahuan dan kemahiran bahasa

(a) dah lama tak ada soalan begini dengan memberikan kata majmuk dan rangkai kata 3 perkataan - ini rasanya tak pernah lagi tetapi perkataan-perkataannya telah biasa didengar dan digunakan kecuali 'pembangunan mesra alam' yang mungkin agak sukar.

(b) Baru sebentar tadi saya berbincang dengan pelajar tentang pola ayat. Saya tak pasti pelajar-pelajar dapat menjawab soalan ini dengan baik walaupun semasa trial kami keluarkan jenis ini. Harap-harap oklah.

(c) Wah, bentuk baru... kali ini tiada 1,2, dan tiga tetapi dalam perenggan. Tetapi soalan agak jelas, jadi cari sajalah 3 kesalah ejaan dan 3 kesalahan imbuhan. Kesalahan pun agak senang untuk dikenal pasti. kemungkinan salah 2 adalah biasa.

(d) kali ini pelajar tak perlu menyalin ayat semula. Eloklah, jimat masa. Saya masih mengatakan bahawa soalan ini dalam kategori senang ke sederhana.

(e) Peribahasanya agak senang, namun saya khuatir bahawa pelajar-pelajar saya tidak dapat mengaitkan makna peribahasa dalam ayat tersebut.NovelNasib baik masih ada 2 buah novel. keburukannya pula ada soalan perbandingan. Namun, para pelajar telah bersedia untuk soalan perbandingan, jadi saya harap oklah. Cuma untuk bahagian a agak ralat sikit kerana saya hanya ada bincangkan tentang bahagian peleraian tidak bahagian permulaan. Tetapi bagi pelajar yang kreatif, tentu mereka dapat membuat perkaitan.

Kesimpulannya:

Kesemua soalan adalah mesra calon. Hampir kesemua soalan boleh dijawab, tidak ada soalan yang membuatkan pelajar termenung tiada ilham dan keseluruhannya agak senang. Tapi boleh dijawab tak semestinya betul. Sekurang-kurangnya pelajar berjaya menjawab soalan. Berdoa sajalah agar jawaban itu betul dan anda mendapat markah yang sepatutnya.[Analisis ini berdasarkan kemampuan dan kebolehan pelajar-pelajar di sekolah saya, mungkin tidak sama di sekolah lain]

Adakah harapan untuk 100% lulus? Entahlah.... ada 2 atau 3 orang yang agak kritikal. Juga bergantung pada penandaan nanti. Berdoa sajalah.

Kepada yang tak rajin datang ke sekolah selepas peperiksaan percubaan tu agak rugi kerana banyak perbincangan yang dilakukan pada saat-saat akhir membantu.

Bahasa Melayu Kertas 1

Ulasan:

Soalan Karangan Bahan Rangasangan
Wah, gambar berwarna! Suatu peningkatan, angkat topi untuk lembaga. Peningkatan begini memang dialu-alukan. Gambar yang dilukis pun menarik. Lebih menarik lagi, soalannya itu iaitu tentang punca-punca pencemaran sungai. Pada pendapat saya, rata-rata pelajar sekolah saya dapat menjawab soalan ini waima yang lemah sekalipun.

3 keping gambar diberikan.
Gambar pertama tentang pembuangan sampah-sarap -> Kelihatan sampah-sarap terapung-apung di permukaan sungai.
Gambar kedua pula tentang pembuangan sisa dari kilang. Kelihatan 2 saluran paip yang mengeluarkan sisa-sisa buangan kilang dari sebuah kilang yang berhampiran manakala gambar ketiga menunjukkan kegiatan pembalakan di tepi sebatang sungai.Rangsangan yang diberikan kepada calon amat jelas.
Dengan gambar yang menarik, calon mesti teruja untuk menjawab soalan ini. Cuma takutnya mereka akan terleka dan menulis melebihi 250 patah kata.

Bahagian B
Arahan soalan tetap sama.

Soalan 1
Sebagai setiausaha sidang redaksi majalah sekolah, anda ditugaskan untuk menyediakan satu laporan tentang Majlis Anugerah Cemerlang yang diadakan di sekolah anda.Sediakan laporan itu selengkapnya.Ini ialah karangan berformat. Kalau nak diikutkan, soalan ini tidak susah kepada para pelajar sekolah saya kerana setiap tahun pun majlis ini diadakan. Bagi pelajar yang pandai mereka akan dapat menyesuaikan pengalaman mereka di sekolah untuk menjawab soalan ini. Saya agak bimbang bagi pelajar yang agak lemah kalau mereka memilih soalan ini. Ini adalah kerana biasanya kami mengadakan Hari Anugerah Bestari dan bertempat di hotel. Saya bimbang mereka akan menulis tentang Hari Anugerah Bestari yang diadakan di hotel.

Soalan 2
Setiap orang ingin akan kawasan petempatan yang terancang untuk tinggal bersama-sama keluarga tersayang.Jelaskan ciri-ciri sebuah petempatan yang menjadi idaman anda sekeluarga.Ini ialah karangan berformat bebas. Apa yang dikehendaki ialah ciri-ciri sebuah petempatan yang menjadi idaman calon sekeluarga. Apa yang saya bimbangkan ialah pelajar akan tersilap takrif akan kehendak tajuk. Saya bimbang pelajar lemah akan menuliskan karangan tentang rumah idaman bukan petempatan sebagaimana yang dikehendaki oleh soalan.

Soalan 3
Penyakit demam denggi yang berpunca daripada nyamuk aedes merupakan ancaman yang membimbangkan negara.Huraikan faktor-faktor yang menyebabkan merebaknya penyakit ini dan langkah-langkah bagi menanganinya.Soalan ini agak mudah, cuma saya harap pelajar tidak akan membuat kesilapan.

Soalan 4
Penyertaan setiap negara dalam pertandingan sukan pada peringkat antarabangsa dapat mengeratkan hubungan masyarakat dunia.Berikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.Pada saya soalan ini agak menarik. Pelajar pintar mungkin akan memilih soalan ini untuk menguji kematangan dan kehebatan mereka. Tetapi saya berharap meraka berhati-hati dan punyai isi yang cukup dan tidak terpesong.

Soalan 5
Yang kurik itu kundi,Yang merah itu saga;Yang baik itu budi,Yang indah itu bahasa.Pantun di atas menjelaskan bahawa budi bahasa penting dalam kehidupan manusia.Bincangkan kepentingan amalan berbudi bahasa dalam masyarakat.Saya dah jangka ada soalan berbentuk begini bagi soalan 5. Soalan apresiasi sastera yang agak umum dan berfakta. Seharusnya pelajar-pelajar tidak mempunyai masalah isi untuk memilih soalan ini. Cuma adakah soalan ini yang terbaik untuk dipilih?

Semangat yang membara

Setelah berkenal-kenalan dengan beberapa orang blogger Bahasa Melayu di alam maya ini, terpanggil saya untuk mengemaskan blog peribadi saya dengan mengasingkan hal-hal yang berkaitan dengan Bahasa Melayu di dalam blog lain. Maka lahirlah blog ini. Semoga blog ini akan memberikan manfaat kepada para pelajar dan pembaca sekalian.